Sunday, June 10, 2012

Kita Tidak Menghukum, Tetapi Menyatakan Kaedah


Terbitan..
ADMIN / JANUARY 2, 2008

Datang seorang wanita yang tidak menutup aurat bertanya kepada saya;
“Dr! adakah saya masuk neraka kerana saya tidak menutup aurat, sedangkan saya solat dan melakukan ibadah-ibadah yang lain?”.
Saya beritahu kepadanya: “Adapun saya bukanlah malaikat penjaga neraka. Bahkan malaikat penjaga neraka sendiri tidak berhak menentukan siapa yang akan dimasukkan atau dikeluarkan dari neraka.

Ini adalah kekuasaan mutlak Tuhan Yang Menciptakan neraka. Di akhirat neraka dimasuki oleh sesiapa yang ditentukan ALLAH sebagai ahli neraka. Demikian juga syurga.
Namun ALLAH memberitahu tentang keadaan manusia di akhirat dengan firmanNya (bermaksud) : “adapun orang yang berat timbangan (amal baiknya), Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang.
Sebaliknya orang yang ringan timbangannya (amal baiknya), Maka tempat kembalinya ialah “Haawiyah”, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Haawiyah” itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar” (Surah al-Qariah 6-11).

Adapun saya yang dhaif ini tidak mengetahui bagaimanakah timbangan amalan saudari di akhirat kelak. Bahkan nasib saya sendiri saya tidak tahu, bagaimana mungkin saya boleh tahu nasib orang lain?!!
Namun jika saudari bertanya saya, adakah perbuatan saudari salah atau betul?
Tentu jawapannya: ia satu kesalahan.
Apakah perbuatan itu faktor yang membawa ke syurga atau ke neraka?……..
Maka jawapan “dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah menunjukkan ke neraka”.
Namun timbangan amalan insan di akhirat bukan hanya terbatas kepada suatu bab sahaja. Ia merangkumi segala bentuk kebaikan dan keburukan.

“Sesiapa beramal dengan kebaikan seberat biji sawi akan dinilai.
Sesiapa yang beramal dengan seberat biji sawi keburukan juga akan dinilai”.
Kemudian jika natijah dari nilaian itu menunjukkan kebaikan lebih berat dari kejahatan, maka selamatlah dia. Jika sebaliknya, rugilah dia.

Dalam hidup ini, ada pula ujian dan cubaan.
Sesiapa yang sabar dengan ujian dan cubaan, diberi pahala dan dihapuskan dosa. Kesalahan orang kepada kita juga menjadikan pahalanya dipindahkan kepada kita, atau dosa kita diberikan kepadanya -seperti dalam hadith al-Imam Muslim-.

Maka keputusan neraka dan syurga adalah hak ALLAH terhadap hamba-hambaNya.
Apa yang pasti dosa menyumbang ke arah neraka.
Pahala menyumbang ke arah syurga.
Jika ditanya membuka aurat, riba, derhaka ibubapa dan seumpamanya ke arah mana? Jawapannya ke arah neraka.
Jika ada yang berkata, mereka ini juga solat dan buat baik dalam perkara yang lain.
Kita katakan; amalan baik menuju ke syurga.
ALLAH yang Maha Adil akan menimbangnya dan menentukannya.

Demikian semua insan. Padanya ada baik dan buruk.
Amalan kita akan ditimbang di akhirat kelak.
Saya timbulkan ini kerana ada juga orang bertanya saya tentang hadith:
“..Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ianya dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap yang diada-adakan itu bid’ah dan setiap yang bid’ah itu sesat”. (Hadith ini sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dengan menyatakan ianya “hasan sahih”, Ibn Majah dan al-Darimi dalam sunan mereka.
Demikian juga Ibn Hibban dalam sahihnya dan al-Hakim dalam dalam al-Mustadrak dengan menyatakan: “Hadith ini sahih”. Ini dipersetujui oleh al-Imam al-Zahabi).

Katanya: “Jika bid’ah masuk neraka, apakah datuk nenek kita dan sebahagian golongan agama akan masuk neraka disebabkan beberapa perkara bidah yang mereka lakukan”. Saya katakan; pertama hadith ini sahih, maka kita jangan mempersenda-sendakannya. Kedua, seperti yang disebut tadi; sesiapa yang berat amalan baiknya maka dia masuk syurga.
Begitu sebaliknya.
Adapun bid’ah bukan pembawa ke arah syurga.
Kita mengharapkan bagi mereka amalan soleh yang jauh lebih besar dari kesilapan mereka.
Dengan itu beratlah kebaikan mereka melebihi kesalahan mereka.
Keempat, kita disuruh oleh agama untuk bersangka baik dengan muslim yang lain. Justeru, kita katakan; mungkin mereka tidak tahu, atau menyangka ia sunnah walaupun sebenarnya tidak.

ALLAH Maha Mengampuni hamba-hambaNya.
ALLAH berfirman (maksudnya):
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
(Mereka berdoa dengan berkata):
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. (Surah al-Baqarah: 286).

Kita mendoakan keampunan mereka, namun dalam masa yang sama kita tidak boleh menyatakan kepada diri kita bahawa kesalahan yang dibuat itu betul.
Bahkan kita mesti menghindari kesilapan yang lalu setelah sampai kepada kita ajaran al-Kitab dan al-Sunnah.
Kita menyampaikan hukum ALLAH dan kaedah agama.
Kita tidak menghukum individu. Jika kita ditanya apakah hukuman terhadap pencuri dalam perundangan Islam.
Kita jawab: Dalam hukum Islam pencuri dipotong tangannya.
Namun jika dia bertanya adakah si A boleh saya potong tangannya kerana saya lihat dia mencuri.
Kita katakan: Tidak! Sehingga melalui proses perbicaraan yang dituntut oleh syarak.
Apa yang saya beritahu ‘pencuri dipotong tangan’ ialah kaedah.

Adapun perlaksanaan memerlukan penelitian yang lebih.
Bidah, khurafat, riba, arak adalah pembawa kepada jalan neraka.
Sesiapa yang mengamalkannya, menuju ke neraka.
Ini adalah kaedah umum.
Namun apabila hendak memutus si fulan ahli neraka.
Tiada siapa yang berhak.
Ini kerana kita tidak tahu amalannya yang lain, taubatnya, istighfarnya, dan kemaafan ALLAH untuknya.

Hal ini perlu dijelaskan untuk dua pihak.
Pertama mereka yang tidak faham tentang maksud kaedah-kaedah yang disampaikan lalu menuduh yang bukan-bukan.
Kedua kepada golongan pendakwah sendiri yang terlalu cepat menghukum individu tanpa penelitian.
Jadilah kita bagaikan khawarij.
Atau pro-khawarij di zaman ini yang cepat mengkafirkan muslim yang lain.
Justeru kita perlu ingat, sikap tergopoh-gapah menghukum sebelum mengetahui latarbelakang orang dicegah atau disuruh adalah perbuatan yang salah.
Golongan yang gopoh ini akan menghukum dengan hukuman kafir atau sesat tanpa terlebih dahulu memahami masalah.
Bahkan mungkin mereka sendiri tidak faham hukum-hakam tersebut dengan jelas. Sedangkan mereka lupa, tidak semua maksiat membawa kepada kekufuran.
Tidak semua pula perbuatan dan ucapan kufur menjadikan pelakunya kafir.

Demikian tidak semua perbuatan bid’ah menjadikan pembuatnya ahli bid’ah.
Kata Ibn Taimiyyah: “Sesungguhnya sesuatu ucapan menjadi kufr seperti mengingkari kewajipan solat, zakat, puasa dan hajj.
Namun pengucapnya mungkin tidak sampai kepada khitab (ajaran yang betul dalam perkara tersebut), maka tidak dikafirkan dia disebabkan keingkarannya.
Ini seperti mereka yang baru menganut Islam dan hidup di daerah pendalaman yang jauh dan tidak sampai kepadanya syariat-syariat Islam”( Ibn Taimiyyah, Majmu’at al-Fatawa, 2/220).

Di tempat yang lain beliau menyebut:
“Sesiapa yang menghadiri majlisku mengetahui, sesungguhnya aku adalah manusia yang paling membantah menyandar seseorang individu kepada kekafiran, atau kefasikan, atau kemaksiatan, melainkan setelah ditegakkan hujah dan dalil yang menunjukkan sesiapa yang menyanggahinya (dalil tersebut) menjadi kafir, atau fasiq, atau ahli maksiat. Sesungguhnya aku bertegas bahawa ALLAH mengampuni kesilapan umat ini. Ini merangkumi pemasalahan akidah dan amalan” (Ibid, 2/147).

Al-Qaradawi menyebut: “Hendaklah diberikan perhatian apa yang telah diputuskan oleh para `ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (mengkafirkan).
Ini bermaksud, contohnya kita katakan “Golongan komunis itu kafir, atau para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak itu kafir, atau sesiapa yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir.
Ini semua adalah hukuman pada jenis.

Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini, maka wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai hakikat sebenar pendiriannya.
Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada lagi keuzuran untuknya.

Perkara ini pernah disebut oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Sesungguhnya perkataan boleh menyebabkan kufur.
Secara umumnya dikafirkan pengucapnya.
Dikatakan “Sesiapa yang mengucap begini maka dia kafir”.
Tetapi peribadi berkenaan yang mengucapkannya tidak dihukum dengan kafir sehingga ditegakkan hujjah yang membukti kuffur sesiapa yang meninggalkannya (meninggalkan berpegang dengan hujjah yang jelas tersebut-pen)” (Al-Qaradawi, Zahirah al-Ghulu fi al-Takfir, m.s. 26-27, Mesir: Maktabah Wahbah (1989).

Keadaan manusia ini berbagai-bagai, ada di kalangan mereka yang membuat kesalahan kerana terlupa, atau jahil atau terdesak.
Kita hendaklah memahami latarbelakang yang berbagai ini sebelum menghukum.

Sikap ini telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dalam tindakan-tindakan baginda, antaranya, daripada ‘Ali bin Abi Talib, katanya: “Rasulullah telah mengutuskan aku, Abu Marthad dan al-Zubair-kami semua adalah penunggang kuda-
baginda bersabda: Pergilah kamu semua sehingga sampai ke Raudah Khakh, sesungguhnya di sana ada seorang perempuan dari kalangan Musyrikin, bersamanya surat dari Hatib bin Abi Balta`ah kepada Musyrikin”.
Maka kami pun mendapatinya, dia menaiki unta sepertimana yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w.
Kami berkata kepadanya: “Surat!”.
Dia menjawab: “Tidak ada bersama kami sebarang surat”.
Maka kami pun menduduk dan memeriksanya.
Namum kami tidak dapati sebarang surat pun.
Kami berkata: “Rasulullah tidak pernah berdusta, sama ada engkau keluarkan surat tersebut atau kami akan telanjangkan engkau!”.
Apabila dia melihat kesungguhan kami maka dia pun terus mendapatkan simpulan kainnya.
Dia pun mengeluarkan surat tersebut, lalu kami terus membawa surat itu kepada Rasulullah s.a.w.
Kata `Umar: “Wahai Rasulullah!, sesungguhnya dia (Hatib bin Abi Balta`ah) telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang Mukminin, biarkan aku pancung kepalanya!”.
Baginda bersabda (kepada Hatib): “Apa yang mendorong tindakanmu?”.
Kata Hatib: “Demi Allah! Bukan aku tidak beriman kepada Allah dan RasulNya s.a.w. tetapi aku ingin mendapat bantuan di sisi kaum (Quraish) yang dengannya Allah akan menyelamatkan keluargaku dan hartaku. Tidak ada seorang pun di kalangan sahabatmu melainkan baginya di sana kaum kerabat yang mana dengannya Allah selamatkan keluarga dan hartanya”.
Sabda baginda: “Dia benar! Janganlah kamu berkata kepadanya melainkan yang baik”. `Umar berkata: “Sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang mukminin, biarkan aku pancung kepalanya”.
Baginda bersabda: “Tidakkah dia di kalangan anggota Perang Badar?”.
Sabdanya lagi: “Mudah-mudahan Allah melihat kepada ahli Perang Badar dan berfirman “ buatlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah pasti untuk kamu syurga atau Aku telah ampuni kamu semua”.
Maka menangislah ‘Umar seraya berkata Allah dan RasulNya lebih mengetahui . (Riwayat al-Bukhari)

Lihat bagaimana baginda meraikan keadaan terdesak yang dihadapi oleh Hatib.
Baginda tidak terus menghukumnya sebelum mengetahui keadaannya.
Demikian juga kita lihat sikap baginda dalam kes-kes yang lain.
Maka kita dalam banyak hal dituntut agar cuba memahami keadaan orang yang kita dakwah.

Kita mesti membezakan antara kaedah dan hukuman. – Al-Qayyim

ref..
http://drmaza.com/arkib_utusan/?p=27


.....