Ibadat solat menghasilkan keadaan
tenang kepada otak manusia dan menunaikan solat amat baik dalam
mengekalkan tahap kestabilan mental dan emosi seseorang.
KEWAJIPAN bersolat lima kali sehari
semalam ke atas semua umat Islam bermula sejak Rasulullah diangkat ke
langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj.
Begitu istimewa sekali ibadah solat
sehingga Rasulullah SAW naik ke langit bagi menerima Rukun Islam yang
kedua ini, tidak seperti ibadah-ibadah lain.
Keistimewaan solat menarik minat
sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) selepas menerima cabaran
Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi perdana menteri.
Cetusan berkenaan timbul memandangkan masih belum terdapat kajian yang komprehensif mengenai solat dari segi saintifik.
Kajian solat yang dijalankan oleh
Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti
Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim serta Prof.
Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan
daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Dr. Fatimah berkata, kajian yang
dijalankan buat masa ini masih di peringkat asas dan bertujuan mengkaji
kesan ke atas perkara seperti komposisi tubuh badan dan kolestrol.
Sistem jantung dan kardiovaskular,
gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan manusia,
sakit pinggang bagi orang dewasa serta kesihatan lelaki dan tenaga
batin.
“Komposisi tubuh badan manusia meliputi
parameter bioimpedance, kuantiti air intra selular dan ekstra selular,
jisim sel badan, kadar lemak dan kolestrol dalam darah.
“Pengukuran parameter ini amat penting
dalam menentukan tahap metabolisme, kecergasan dan kesihatan seseorang
individu,” katanya yang menjalankan kajian mengenai komposisi badan.
Kajian komposisi badan terbahagi kepada dua iaitu kebaikan solat zohor dan solat tarawikh terhadap komposisi badan.
Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat
yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara
tertib dan berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan.
“Kami menjalankan kajian komposisi badan
semasa seseorang bersolat Zohor secara jemaah dengan 47 orang peserta
berusia 18 hingga 28 tahun,” katanya.
Pengukuran analisis bioimpedans (BIA)
(kaedah yang digunakan untuk mengukur komposisi badan) diambil sebelum
dan selepas solat Zohor secara berjemaah.
Bagaimanapun lima tabiat lazim peserta
perlu diambil kira meliputi amalan solat yang sempurna, tahap pemahaman
bacaan, menunaikan solat secara berjemaah atau sendirian, kedudukan
tulang belakang semasa rukuk dan keadaan jari kaki semasa sujud, duduk
antara dua sujud dan tahiyat akhir.
Dr. Fatimah berkata, keputusan
menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai tahap
kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya
dengan sempurna.
Kajian berkenaan kata Dr. Fatimah menunjukkan solat lima kali sehari semalam selain ibadah dapat mengurangkan lemak dalam badan.
“Apabila gumpalan lemak dalam badan
berkurangan, tisu otot baru meningkat, memenuhi ruang, melambatkan
proses penuaan dan kekenduran tisu,” katanya.
Tabiat mengamalkan kedudukan tulang
belakang lurus melintang ketika rukuk melambatkan proses penuaan, tisu
bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan lebih baik dan
melancarkan fungsi buah pinggang.
Manakala sistem jantung dan kardiovaskular amat penting bagi kesihatan manusia dan dipengaruhi oleh kekenyalan arteri.
Jika kekenyalan arteri terutama di bahagian jantung berkurangan, ia boleh menyebabkan berlaku penyakit arterioskerosis koronari.
Pengekalan kekenyalan arteri amat penting dalam memelihara sistem kardiovaskular yang sihat.
Ibadat solat, kata Dr. Fatimah, bukan
saja melibatkan bacaan surah al-Quran tetapi juga pergerakan anggota
badan seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk tahiyat.
“Kajian menunjukkan kedudukan seperti rukuk, sujud dan duduk membantu memberikan keadaan rehat kepada jantung.
Sujud
“Malah kita digalakkan memanjangkan
tempoh posisi sujud kerana kedudukan ini menghasilkan kadar denyutan
jantung paling rendah,” katanya.
Ng Siew Chok yang menjalankan kajian
otak dalam solat berkata, setiap pergerakan manusia menghasilkan corak
gelombang otak yang tertentu dan unik.
Gelombang otak yang dihasilkan ketika pergerakan meliputi gelombang alfa, beta dan gamma.
Kajian akan dilakukan ke atas gelombang
otak yang dihasilkan ketika bersolat pada setiap posisi seperti rukuk,
sujud, iktidal dan duduk semasa tahiyat.
“Solat jelas secara umumnya melibatkan
pembacaan serta penghayatan ayat suci al-Quran, doa-doa serta pergerakan
yang didapati menyamai meditasi.
“Semasa solat, berhenti seketika sebelum
bertukar posisi atau tamakninah boleh dikatakan seseorang berada dalam
ketenangan,” katanya.
Dalam kajian ini isyarat otak subjek
Muslim yang bersolat direkod dan dianalisis, di mana dua kajian
saintifik dilakukan iaitu perubahan isyarat otak semasa tamakninah dan
kesan solat kepada isyarat otak.
Hasilnya, kata Siew Cheok,
didapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia
dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental
dan emosi seseorang.
Kajian juga menunjukkan ibadat solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan.
Maka solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar.
“Dan biasanya selepas melakukan solat,
seseorang akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap
sebarang rangsangan,” katanya.
Pergerakan solat meliputi berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk melibatkan pergerakan seluruh otot tubuh badan.
Pergerakan otot-otot secara isotonik dan
isometrik meningkatkan fungsi dan kekuatan otot dan kajian yang
dilakukan merangkumi otot utama yang penting kepada kesihatan manusia.
Pergerakan relatif
Ibadah solat kata Prof. Wan Abu Bakar
melibatkan banyak pergerakan relatif antara sendi selain postur tertentu
semasa solat juga meletakkan otot pada kedudukan mengecut, santai atau
mengembang.
“Selain ibadah, solat boleh dianggap
sebagai senaman fizikal yang sederhana yang melibatkan pergerakan badan
seperti berdiri, tunduk, duduk dan sujud.
“Sakit pinggang merupakan masalah yang
biasa berlaku bagi golongan dewasa dan mereka yang bekerja,” katanya
yang menjalankan kajian otot dalam solat.
Terapi senaman melalui pergerakan solat
yang betul dapat mengembalikan keupayaan kelenturan badan, mengekalkan
postur badan yang ideal dan membantu mengurangkan sakit pinggang.
Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat
terutama rukuk dan sujud didapati menyamai beberapa pergerakan senaman
stabilisasi dan regangan belakang.
“Pergerakan rukuk hampir sama dengan
senaman ‘selamat pagi’ yang bukan saja dapat membantu regangan otot pada
bahagian paha tetapi juga melatih koordinasi otot belakang kaki,”
katanya yang juga menjalankan kajian mengenai solat dan sakit pinggang.
Kajian yang dijalankan merumuskan
pergerakan dalam solat dapat memberikan kebaikan dalam memulihkan dan
membantu mengembalikan kenormalan fungsi aktiviti otot erektor spina
terutama bagi mereka yang mengalami sakit pinggang.
Justeru, jelas beliau pergerakan rukuk semasa solat boleh digunakan sebagai terapi untuk merawat sakit pinggang.
Selain itu, pergerakan fizikal atau
senaman sederhana secara berterusan dapat mencergaskan sistem andrologi
dan meningkatkan kekuatan tenaga batin lelaki.
Solat fardu yang dilakukan lima kali
sehari di samping solat sunat serta sunat tahajud sebagai pelengkap
ibadah merupakan satu terapi yang memberikan kesan positif ke atas
sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin lelaki.
Kajian yang dijalankan menunjukkan
senaman pengaktifan otot lantai pelvik oleh penyelidik Van Kampen
membuktikan senaman dapat melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan
masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk.
“
Bagaimanapun banyak lagi kajian lanjut yang sedang dijalankan bagi mengkaji lebih lanjut mengenai solat,” katanya.
Artikel oleh :
KHAIRUNNISA SULAIMAN
http://www.bloggermuslim.com/2011/11/khasiat-solat-secara-saintifik/
....