Memang tiada siapa pun dapat menduga
bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan
tiada persediaan ‘menanti’ saat kematian mereka. Allah berfirman yang
bermaksud:
“Setiap yang hidup akan
merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan
sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiyak
ayat 35)
Tahukah kita bahawa malaikat maut
sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam
sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai
mengingati mati.
Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk
ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia
tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.
Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh
Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali
dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati
orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: ‘Alangkah
hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk
mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak
ketawa.’”
Justeru, tidak hairanlah, jika ramai
manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah
mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok
hari terakhir Allah ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas di muka
bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa
berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?
Tiada seorang pun di dunia ini dapat
menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat
kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda,
sihat, kaya atau miskin. Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam
hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100
kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging
ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat
menghadapi kematian. Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya
dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan.
Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).
Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi
s.a.w yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang
sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua:
berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.
“Manakala jika ia mengeruh seperti
tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih,
menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia.” (Hadis riwayat
Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)
Kematian ‘menjemput’ manusia secara
perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai aripada jasad, hujung kaki
kemudian ke paha. Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut
Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti
binatang yang disembelih. Itu pula tanda azab yang diterimanya
disebabkan dosa dan kekufuran mereka.
Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis
Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bahawa roh orang mukmin akan ditarik
oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara
roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut
bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”
Allah juga turut menimpakan seorang
Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan
nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya. Mungkin ada juga orang
kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia
berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap
kebajikan pasti akan dibalas. Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak
menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat
kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud: “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah
satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan
kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya
sehingga sampai ke lutut.
“Setelah itu datang pula sekumpulan
malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut
dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang
lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan
kemudiannya mereka keluar. “Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan
malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong
dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”
Malaikat Izrail menjalankan arahan Allah
s.w.t dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh
orang sakit saja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan
malapetaka. Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa
bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan,
diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan
taun. Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi
nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan
kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia.
Maka waktu itu mereka masih berpeluang
bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati
mengejut disebabkan kemalangan. Ia memberi pengajaran dan peringatan
kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai
berusaha untuk memperbaiki diri.
Justeru, bagi mereka yang masih
diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap
segala yang berlaku. Allah menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi
janji-Nya kepada malaikat maut. Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah
hadis antara lain menerangkan malaikat Izrail berasa sedih apabila
ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa. Ini kerana antara makhluk
bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri daripada kekasih Allah
iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh. Malaikat maut mengadu kepada
Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam a.s.
Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh
manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat kehilangan orang
tersayang dalam hidup mereka. Justeru, jika seseorang Muslim itu
meninggal dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan seperti
menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai menghormatinya, sunat
meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah kiblat, tanggalkan pakaian
berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas seluruh
jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan
kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam
(berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas
perutnya seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium
jenazah. Umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu
dengan tanda tertentu.
Itulah yang menyebabkan umat Islam
semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan
tahyul. Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah
untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan
sebelum kematiannya. Tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati
melainkan Allah dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.
Apabila sampai ajal seseorang, umat
Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya
bertenang dan banyakkan bersabar. Islam menegah amalan keterlaluan
seperti menjerit dan meratapi kematian. Mereka yang masih hidup peluang
perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak
melakukan kesilapan dan kesalahan. Tiada daya atau usaha yang boleh
menyelamatkan kita daripada kematian. Kematian menjadikan hati manusia
menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan
soleh saja akan membawa kita bertemu Allah.
http://www.bloggermuslim.com/2011/11/malaikat-maut-mengintai-kita-70-kali-sehari/
...